Untung bersih Airasia X Bhd melonjak lebih dua kali ganda
Keuntungan bersih Airasia X Bhd melonjak lebih daripada dua kali ganda kepada RM98.88 juta dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis 2017, berbanding RM44.83 juta pada 2016, disokong oleh pertumbuhan kuantiti penumpang.
Cabang penerbangan jarak jauh AirAsia itu merekodkan hasil sebanyak RM1.22 bilion dalam suku kempat bagi operasinya di Malaysia, naik empat peratus daripada RM1.17 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Hasil disokong oleh pertumbuhan 12 peratus dalam kuantiti penumpang. Hasil sampingan bagi setiap penumpang meningkat empat peratus kepada RM142 tahun ke tahun,” kata syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, faktor muatan tempat duduk berjumlah 83 peratus, yang mana naik dua mata peratusan lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Purata tambang turun lapan peratus pada RM519 berbanding RM565 pada Suku Keempat 2016.
Mengenai prospek masa depan, AirAsia X berkata berdasarkan kepada trend tempahan, muatan dan purata tambang adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Sekiranya tiada sebarang masalah yang tidak diduga, termasuk dan tidak terhad kepada serangan pengganas, bencana alam, wabak, kegawatan ekonomi, peningkatan harga bahan api dan turun naik mata wang asing berbanding ringgit, syarikat menjangkakan prospeknya kekal positif,” kata AirAsia X.
- Bernama

