'Orang bukan Islam tak anti-Islam boleh jadi wakil rakyat'
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tidak ada larangan mutlak untuk orang Islam memilih individu bukan Islam sebagai wakil rakyat atau menteri.
Katanya walaupun ada ayat-ayat al-Quran menyatakan larangan melantik orang bukan Islam sebagai "aulia" - yang boleh dirujuk sebagai individu paling rapat dan dipercayai - namun arahan itu perlu melihat kepada konteks semasa.
Menurut beliau pada ayat lain Allah tidak melarang umat Islam berbuat baik kepada mana-mana orang yang tidak memerangi mereka.
Membacakan ayat al-Quran Mohd Asri berkata Allah sukan kepada orang Islam yang berbuat baik kepada bukan Muslim.
"Yang Allah larang ialah orang yang memerangi kamu pada agama kamu, mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, menzahirkan permusuhan dengan kamu - kamu tak boleh lantik mereka jadi aulia.
"Siapa yang melantik mereka, termasuk dalam kalangan orang yang zalim," katanya dalam satu klip video dan dikongsikan dalam akaun Facebook beliau.
Baca Calon PM: Malaysia bukan Amerika, kata Hadi
Tambah Mohd Asri walaupun ayat larangan orang bukan Islam dilantik sebagai "aulia" itu agak banyak, namun pada ayat lain Allah menyatakan kekangan itu hanya terhad kepada mereka yang bermusuh dengan Islam.
"(Orang bukan Islam) yang tak anti-Islam boleh jadi kawan, boleh jadi sahabat," katanya.
Mohd Asri berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung perkembangan semasa, terutama ketika negara ini semakin menghampiri pilihan raya umum (PRU).

Sesi soal jawab Mohd Asri itu berlangsung dalam program Ziarah Jabatan Mufti Perlis di Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam, Kangar semalam.
Tidak seperti kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi, tarikh PRU di negara ini kekal menjadi rahsia sehinggalah ke saat-saat akhir apabila ia diumumkan oleh perdana menteri.
Menjelaskan pandangannya itu Mohd Asri berkata ketika ini semua parti politik yang dianggotai orang Islam dalam negara pernah mengemukakan orang bukan Islam sebagai calon dalam pilihan raya.
Katanya membahaskan hukum Islam tidak boleh pada waktu musim pilihan raya saja. Malah katanya hukum Islam bersifat tidak memihak kepada mana-mana kumpulan yang berkepentingan.
"Kita kena bahas (hukum Islam) secara adil.
"Orang politik, hukum dia boleh berbeza-beza. Dulu (dia faham) hukum cara lain, sekarang boleh cara lain," katanya.

