5 pelajar kolej antara 51 penagih ditahan di Kuantan
Lima pelajar kolej antara 51 individu yang ditahan dalam satu serbuan Op Sarang yang dijalankan di sekitar daerah Kuantan bermula kelmarin sehingga petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah tumpangan di bandar ini.
“Ujian air kencing mendapati mereka yang merupakan pelajar semester satu sebuah kolej di sini (Kuantan) positif dadah,” katanya kepada pemberita di Kuantan semalam.
Kesemua mereka serta 46 lagi suspek yang berumur sehingga 45 tahun itu akan ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan menurut beberapa seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah itu, polis turut merampas beberapa jenis dadah seperti syabu dan ganja seberat 6.31 gram.
Mohamad Noor berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti dalang yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar itu.
“Kami meminta dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang perkara ini supaya segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membendung masalah ini daripada terus menjadi barah dalam masyarakat kita,” katanya.
- Bernama

