BPR diminta 'kurang bercakap, lebih banyak bertindak'
Terjemahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dianggap masih gagal menangani gejala rasuah di negara ini dan juga gagal bertindak sepenuhnya terhadap aduan-aduan yang dikemukakan kepadanya.
Terjemahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dianggap masih gagal menangani gejala rasuah di negara ini dan juga gagal bertindak sepenuhnya terhadap aduan-aduan yang dikemukakan kepadanya.
Mesej ini disampaikan dengan jelas kepada Ketua Pengarah agensi itu, Datuk Zulkipli Mat Noor dalam satu seminar di Kuala Lumpur.
Seorang peserta dan seorang ahli panel telah bertanya tentang tindakan-tindakan yang diambil terhadap aduan-aduan mengenai rasuah yang diterima oleh BPR. Bagaimana jawapan yang diberikan amat menghampakan.
Seminar mengenai langkah-langkah anti-rasuah itu dianjurkan oleh Institut Pembangunan Komunikasi Asia dan Yayasan Konrad-Adenauer.
Zulkipli membentangkan kertaskerja mengenai peranan dan tindakan BPR dalam membasmi rasuah. Antara lain, beliau membariskan senarai forum dan persidangan yang dihadiri para pegawainya sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, penyertaan dalam seminar dan forum itu bertujuan meningkatkan lagi perancangan dan strategi BPR.
Beliau juga bercakap mengenai perjanjian pelbagai hala antara BPR dengan badan-badan pencegahan rasuah di Brunei, Indonesia dan Singapura.
Bukti dan saksi
Zulkipli mendedahkan, BPR telah menerima 11,000 aduan tahun lalu tetapi hanya boleh menyiasat kes-kes yang mempunyai bukti kukuh dan saksi yang sanggup tampil di mahkamah.
Bagaimanapun, segala fakta dan angka itu tidak memuaskan hati para peserta seminar. Salah seorang ahli panel, Eksekutif Editor akhbar The SUN, R Nadeswaran melahirkan kekecewaannya terhadap kelembapan BPR menyiasat aduan yang dibuat menerusi e-mel beberapa tahun lalu.
Menurut Nadeswaran, BPR hanya menjawap e-melnya selepas enam minggu, itupun selepas campurtangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.
Kes tersebut katanya, masih belum selesai kerana masih dalam siasatan BPR. .
Seorang peserta lain mempertikaikan keperluan program "lawatan sambil belajar" yang dilakukan oleh BPR ke luar negara. Zulfipli bagaimanapun mempertahankan program tersebut dengan mendakwa ia meningkatkan pengalaman dan pengetahuan BPR dalam memerangi rasuah.
"Kami berkerja dengan lebih baik menerusi kerjasama. Itu sebabnya saya katakan program itu mendatangkan faedah," jelasnya.
Dasar buka pintu
Zulkipli juga memberitahu, agensi tersebut mengamalkan dasar buka pintu bagi membolehkan orang ramai melawat pejabat-pejabat BPR dan memberi maklumat berhubung kegiatan rasuah.
Bagaimanapun beliau mengingatkan, semua aduan perlu dinilai terlebih dahulu bagi memastikan sama ada ia mempunyai asas untuk disiasat atau tidak.
"BPR tidak diwajibkan memaklumkan status siasatan kepada orang ramai," tegasnya ketika menolak permintaan seorang peserta yang bertanya tentang status siasatan kes perjudian bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam..
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Abdul Samad di dalam kata-kata aluannya menegaskan, langkah membasmi rasuah memerlukan keazaman politik.
Shahrir, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) berkata ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilihat "kurang telus" dan ini membuka ruang kepada rasuah./ Berita asal

