Paling Popular
Terkini

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di Kelantan jika diarahkan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. 

Namun beliau menolak khabar angin yang mengatakan PAS sudah membuat keputusan mengenai perkara itu. 

"Khabar angin kita jangan percayalah, kita tunggu keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh parti. 

"Saya bersedia (bertanding) di mana-mana parti putuskan. 

"Terus-terang saya kata, saya turun ke banyak negeri. Johor saya banyak turun, Selangor khususnya apabila presiden kurang sihat," katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Isu Semasa dan Bangkit Pertahan Kelantan di Kota Bharu, malam tadi. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan dan khabar angin yang mengatakan beliau bakal bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Malah, sesetengah pendapat pun beranggapan beliau bakal bertanding di Parlimen Bachok untuk berdepan Datuk Dr Awang Adek Hussin daripada Umno. 

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata PAS berpuas hati dengan persiapan jentera mereka setakat ini untuk menghadapi PRU14. 

"Saya dah turun hampir seluruh negara dan kita mengadakan siri pertemuan dengan jentera dan keseluruhannya parti berpuas hati dengan persiapan jentera dan sambutan orang ramai," jelasnya. 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS