Korea Utara tuduh setiausaha agung PBB 'cari pasal'
GLOBAL l Korea Utara semalam menuduh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres "mencari pasal" dengan Pyongyang dengan memuji sekatan antarabangsa untuk mengenakan tekanan ke atas republik itu berkaitan program peluru berpandu nuklear dan balistik.
Misi Korea Utara ke PBB berkata dalam satu kenyataan bahawa Guterres telah membuat "ucapan melulu" semasa berucap minggu lalu di Persidangan Keselamatan Munich.
Katanya, sebagai setiausaha agung PBB, Guterres tidak sepatutnya bertindak demikian dan membuatnya dilihat seolah-olah seperti mewakili Amerika Syarikat.
Ketegangan antara kerajaan Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berhubung pembangunan senjata nuklear oleh Korea Utara yang mampu sampai ke sasaran di AS, tidak menunjuk tanda-tanda akan reda.
Amerika Syarikat harus dipersalahkan atas situasi di Semenanjung Korea, kata misi Korea Utara itu, dan mengkritik Guterres kerana tidak menyentuh Washington dalam ucapannya di Munich itu.
Guterres (gambar) memberitahu persidangan itu: "Adalah penting untuk diperhatikan bahawa perpaduan yang Majlis Keselamatan telah dapat... lakukan, melalui sekatan, satu tekanan yang sangat bermakna terhadap Korea Utara, dan tekanan itu, pada pendapat saya, adalah amat penting untuk dikekalkan. "
Majlis telah sebulat suara meningkatkan sekatan ke atas Korea Utara sejak 2006 dalam usaha menyekat dana untuk program peluru berpandu nuklear dan balistik Pyongyang, dengan melarang eksport termasuk arang batu, besi, timah, tekstil dan makanan laut, dan menghadkan import minyak mentah dan produk petroleum yang ditapis.
Misi Korea Utara itu meminta Guterres memastikan Majlis Keselamatan mengalu-alukan "proses peningkatan hubungan antara Korea dan tidak menggalakkan negara-negara jiran dari mengganggu proses itu."
Kim Jong Un mengejutkan dunia apabila dia berkata Korea Utara akan menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan, manakala Presiden Korea Selatan Moon Jae-in telah menangguhkan latihan ketenteraan, meraikan adik perempuan Kim di majlis perasmian Olimpik di Pyeongchang dan diberi persetujuan bersyarat untuk satu sidang kemuncak .
Guterres berkata dalam ucapannya bahawa "walaupun hubungan antara kedua-dua negara Korea itu bertambah baik, tetapi ia bukan persoalan utama yang kita hadapi. Persoalan utama ialah masih persoalan pemansuhan senjata nuklear".
- Reuters

