Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pasar raya untung RM120 juta setahun jual beg plastik'
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 11:40 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Pasar raya dan kedai runcit seluruh negara termasuk kerajaan Selangor mampu mengaut keuntungan konservatif RM120 juta setahun daripada caj 20 sen penggunaan beg plastik.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, keuntungan jualan beg plastik itu meliputi 70 peratus daripada semua pasar raya di seluruh negara.

“Setiap pengguna akan membeli sekurang-kurangnya tiga beg plastik bernilai 60 sen, kita andaikan 600 hingga 700 pengguna membeli di kedai runcit dan pasar raya setiap hari dan jumlah anggaran keuntungan kasar yang diperoleh sebanyak RM10 juta sebulan.

“Saya difahamkan, kos setiap beg plastik adalah sebanyak 3 sen sahaja, namun seperti kerajaan PKR Selangor, mereka menyuruh rakyat membayar pada kadar 20 sen.

"Jumlah itu menunjukkan perbezaan besar iaitu sebanyak 17 sen. Ini bermakna, kedai runcit dan pasar raya mampu mendapat untung besar jika memperoleh 1,000 pengguna setiap hari,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Selasa lalu, beberapa persatuan pengguna mendesak kerajaan Selangor menjelaskan ke mana caj 20 sen tersebut disalurkan supaya pelaksanaan kempen beg plastik tersebut lebih telus.

Selangor mula menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin mulai 1 Jan 2017 di semua pusat komersial utama.

Kira-kira tujuh tahun sebelum itu kerajaan negeri menguatkuasakan larangan sama pada setiap Sabtu bagi mengawal penggunaan plastik yang mencemarkan alam sekitar serta lambat untuk dilupuskan.

Bagaimanapun pengguna masih boleh mendapatkan beg plastik jika sanggup membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu bahan berkenaan.

Dasar itu disambut baik aktivis dan pencinta alam sekitar namu menerima banyak rungutan daripada pengguna biasa.

Pada 18 Feb lalu salah seorang pemimpin BN Selangor menjanjikan tiada lagi caj 20 sen untuk setiap beg plastik jika pengundi memilih mereka untuk mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beg kitar semula tak disediakan

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, caj berkenaan yang dikatakan untuk mendenda pengguna dijadiakn sumber pendapatan sesebuah pasar raya.

“Bayangkan jika ada 1,000 pengguna sehari yang membeli barang, berkemungkinan mereka (pengguna) akan membeli tiga hingga lima beg plastik dengan nilai RM1 mengikut barang keperluan yang dibeli. Jadi, caj 20 sen itu boleh memberi keuntungan setiap hari sekali gus memberi nilai tambah kepada pihak pasar raya itu.

“Jika pihak pasar raya benar-benar mahu menjual plastik beg seeloknya jual beg yang boleh dikitar semula atau beg bahan-bahan boleh urai (biodegradable) bagi memastikan pengguna boleh mengguna pakai beg tersebut apabila membeli-belah kelak,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pasar raya menjadikan caj 20 sen beg plastik sebagai sumber pendapatan untuk me­ngaut keuntungan.

“Pasar raya boleh mengaut keuntungan yang berlipat ganda hanya dengan mengenakan caj 20 sen beg plastik dan pengguna tidak mengetahui status caj tersebut digunakan.

“Kita tidak mahu mereka (pasar raya) menjadikan caj 20 sen sebagai sumber pendapatan sekali gus membebankan pengguna. Seeloknya jadikan caj 20 sen tersebut untuk mengadakan program bersama pengguna atau sebaliknya,” katanya.

Lihat Komen
ADS