Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ECRL projek mega berorientasi keperluan rakyat - Tengku Abdullah
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 4:20 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan ‘projek keretapi rakyat’.

Tengku Abdullah bertitah projek mega itu bukan sahaja mampu menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur, malah ia merapatkan lagi hubungan rakyat apabila masa perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang dapat disingkatkan.

“Saya menganggap projek ECRL ini untuk rakyat… keretapi rakyat. Ia dapat dekatkan lagi rakyat Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor (Lembah Klang), orang jauh selepas ini menjadi lebih dekat.

“Pahang bertuah kerana kita terletak tengah-tengah dan hal ini secara langsung memberi nilai tambah kepada Pahang,” titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat Tanah Makmur Berhad dan Galeri Jualan KotaSAS di Kuantan hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Eksekutif Tanah Makmur Berhad Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Tengku Abdullah bertitah selain menjadi penghubung rakyat, projek ECRL juga dilihat mampu memangkin pertumbuhan bandar-bandar baharu di sepanjang 688 laluan pembinaan landasannya, termasuk di Pahang.

Sementara itu, baginda turut bertitah pembangunan untuk menjadikan KotaSAS sebagai pusat pentadbiran baharu kerajaan negeri, kini sedang giat dilaksanakan.

“Tumpuan pembangunan infrastruktur dan hartanah tertumpu di sini (KotaSAS) dan kini kita lihat ia berkembang menjadi bandar baharu dengan pelbagai kemudahan infrastruktur sedang dibina di sini.

“Ia termasuk kemudahan untuk pusat pentadbiran kerajaan negeri yang kini sudah siap 30 peratus dan dijangka akan siap pada 2020, bakal dilengkapi dengan hospital, dan bangunan baharu untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis,” titah baginda.

Dalam masa sama baginda berharap keadaan persekitaran alam sekitar di KotaSAS akan menjadi lebih baik pada masa depan dan memberi keselesaan kepada masyarakat yang bakal mendiami bandar baharu Kuantan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS