Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Walau makan quinoa PM sentiasa utamakan rakyat
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 5:31 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) didakwa gagal beramal dengan politik matang serta kebudak-budakan apabila mempertikaikan pengambilan bijiran quinoa oleh Datuk Seri Najib Razak.

Sebuah rencana diterbitkan portal mykmu.net berkata pembangkang juga seperti kehabisan modal dengan tindakan mereka mempolitikkan isu berkenaan.

"Rata-rata rakyat Malaysia menggelengkan kepala dengan tindakan pakatan pembangkang menjadikan makanan Najib sebagai modal politik.

"Mereka tahu bahawa perkara tersebut terlalu kebudak-budakan untuk dijadikan isu, sekaligus mengambarkan tahap pemikiran pemimpin pakatan pembangkang," kata penulis terbabit.

Semalam perdana menteri menceritakan amalan pemakanannya bagi menjaga kesihatan ketika menghadiri suatu program di Bangi, Selangor.


Baca Kenyataan kangkung PM jadi bahan jenaka


Dalam ucapannya, Najib berkata beliau tidak mengambil nasi sebaliknya quinoa yang diperkenalkan anaknya.

Quinoa adalah makanan ruji masyarakat Inca yang ditanam 3,000 tahun lalu.

Ia berasaskan protein, kurang karbohidrat dan kurang gula, menjadikannya lebih baik dan sihat daripada beras.

Kenyataan itu mengundang reaksi daripada pemimpin HARAPAN.

Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, misalnya menggesa rakyat negara ini menolak Najib kerana mendakwa pemimpin terbabit tidak memahami penderitaan ditanggung rakyat ketika ini.

Menurut anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng (bawah), harga quinoa jauh lebih tinggi berbanding nasi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.

Semakan atas talian mendapati pasar raya besar Tesco menjual bijiran berkenaan pada harga RM14.79 untuk paket seberat 250gram bagi produk Love Earth Organic Quinoa.

Itu bermaksud harga quinoa untuk satu kampit seberat 10kg ialah RM591.60.

Sanggup jadi badut

Bagi beras jenama Jasmine Super Special (5 peratus beras hancur) 10kg, harga pasaran ialah hanya RM25.85.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyindir Najib dengan berkata, beliau hanya mengambil beras tempatan sebagai makanan harian.

Penulis portal pro-Umno itu menambah setiap manusia berhak memilih amalan pemakanan sendiri selagi ia tidak menyalahi hukum Islam, dan tiada sesiapa boleh mempertikaikannya.

"Lim mendakwa Najib tidak tahu penderitaan rakyat jika dilihat berdasarkan amalan pemakanan perdana menteri.

"Betapa dangkalnya tuduhan tersebut.

"Najib adalah antara perdana menteri yang sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat," katanya sambil merujuk kepada pelbagai skim bantuan diberikan kerajaan, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Sebaliknya kata penulis itu pembangkang membatalkan segala projek yang "mempunyai unsur untuk kepentingan rakyat" manakala program mengayakan proksi atau kroni cepat saja dilaksanakan.

"Rakyat Malaysia tahu siapa sebenarnya yang menjaga rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai Dr Mahathir, portal itu mempersendakan bekas perdana menteri terbabit sebagai manusia "berumur hampir 100 tahun" tetapi turut "meyertai kebodohan" pakatan pembangkang.

"Nampaknya Dr Mahathir sanggup membiarkan dirinya menjadi badut - atau lebih tepat boneka - yang melakukan apa sahaja arahan daripada bos besar sehingga sanggup memalukan diri dan keturunannya," katanya.

Lihat Komen
ADS