Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) Datuk Zakaria Arshad berkata sekatan import terhadap produk minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) tidak memberi kesan kepada syarikat terbabit.

Ini kerana, kata Zakaria, produk FGV hanya tertumpu kepada pasaran tempatan dan hanya dua peratus saja dipasarkan di luar negara.

“Untuk FGV, tidak banyak kesan. Kerana perniagaan kami di EU hanya dua peratus dan ia juga hanya melibatkan biodiesel.

“Tanpa larangan daripada EU pun kita tidak boleh menjual atau mengeksport kerana harga.

“Kita hanya tumpukan pada pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan EU yang ingin menyekat kemasukan minyak sawit import dan adakah ia memberi kesan kepada FGV.

Pada April tahun lalu, Parlimen Eropah dalam satu resolusi tidak terikat mengatakan hanya minyak sawit yang lestari alam sekitar sahaja yang boleh diimport oleh EU selepas 2020.

Resolusi itu turut mendakwa perladangan kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia yang menggunakan kaedah tebang dan bakar telah memusnahkan hutan serta habitat haiwan selain menyebabkan berlakunya jerebu teruk di sebahagian Asia.

Prekara itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang memohon kepada Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) supaya menjadi suara bagi membantah sekatan import produk minyak sawit oleh EU.

Menurut ANGKASA, resolusi EU itu boleh menjejaskan pendapatan dan ekonomi kira-kira 650,000 anggota koperasi yang juga pekebun kecil kelapa sawit di negara ini.

Lihat Komen
ADS