Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti cadangan untuk membangunkan semula Perumahan Awam (PA) Seri Selangor di ibunegara dengan infrastruktur bangunan dan kemudahan yang lebih selesa selaras dengan kemajuan pembangunan di sekitar kawasan berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rancangan pembangunan semula yang kini di peringkat perbincangan antaranya dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Penduduk Sri Selangor dijangka dapat meningkatkan nilai pasaran hartanah di situ.
"Kerajaan faham akan kondisi perumahan tersebut yang telah berusia 46 tahun dengan kelengkapan yang sudah banyak rosak dan memerlukan transformasi kediaman yang lebih baik dan moden.
"Apabila dibangunkan semula nanti, ia akan dibuat mengikut konsep projek pembangunan semula Residensi Kerinchi, Razak Mansion dan yang sedang dibangunkan kini, PA Sri Pahang.
"Kementerian juga akan buat mengikut konsep 'one to one', iaitu penduduk yang sudah membeli unit kediaman tersebut akan dapat unit rumah baharu secara percuma dengan saiz lebih besar iaitu antara 700 kaki persegi hingga 800 kaki persegi berbanding sebelum ini, 450 kaki persegi," katanya ketika merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Parlimen Cheras malam tadi.
Tengku Adnan berkata kementeriannya juga akan memastikan setiap kontraktor yang dilantik dalam menjalankan setiap pembangunan di Wilayah Persekutuan mempunyai sikap tanggungjawab dan kewibawaan yang tinggi.
"Saya telah arahkan agar setiap kontrak diagihkan kepada pemaju yang boleh buat kerja dan dan kita tak akan berikan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab lantas timbulkan kemarahan rakyat," katanya.
- Bernama
