Wartawan dibunuh ketika siasat kes penipuan cukai
Polis Slovakia percaya wartawan yang ditemui mati ditembak bersama teman wanitanya pada Ahad sedang menyiasat satu kes besar membabitkan penipuan cukai, lapor agensi berita China Xinhua.
Mayat Jan Kuciak, 27, seorang wartawan laman sesawang berita Aktuality.sk, dan Martina Kusnirova telah ditemui di rumahnya di Velka Maca, yang terletak di barat Slovakia.
"Pembunuhan Kuciak berkemungkinan besar ada kaitan dengan tugasnya sebagai seorang wartawan siasatan," kata Presiden Kor Polis Slovakia, Tibor Gaspar, pada sidang akhbar.
Kuciak telah dibunuh dengan satu tembakan di bahagian dada manakala teman wanitanya telah ditembak di kepala.
Mereka dipercayai mati antara Khamis dan Ahad.
Sementara itu, Perdana Menteri Slovakia Robert Fico berkata pembunuhan kedua-dua mangsa tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat Slovakia dalam apa jua keadaan.
"Jika kematian Kuciak mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai seorang wartawan, ia adalah satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kebebasan akhbar dan demokrasi di Slovakia," katanya.
Menteri Keadilan Slovakia Lucia Zitnanska pula berkata: "Tindakan kejam ini begitu memeranjatkan saya. Saya anggap setiap pembunuhan satu tragedi yang besar, terhadap manusia mahupun sosial." -Bernama

