Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah hari ini mengesahkan bahawa beliau sedang “dalam perbincangan” untuk menjadi calon dan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Selain Maria, spekulasi juga bertiup kencang bahawa peguam terkemuka, Datuk Ambiga Sreenevasan, juga akan berbuat demikian. Namun bekas presiden Majlis Peguam itu menamatkan segala desas desus dengan mengesahkan beliau tidak akan bertanding.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maria berkata bahawa dirinya diminta mempertimbangkan cadangan bertanding sebagai calon ahli parlimen tetapi tidak menamakan parti yang menghubunginya itu.

"Saya sebenarnya dihubungi untuk mempertimbangkan untuk bertanding supaya menjadi suara masyarakat sivil di Parlimen.

"Ini adalah perkara serius yang masih dibincangkan,” katanya.

Maria menambah bahawa dirinya akan membuat pengumuman apabila ada keputusan nanti.

Sementara itu, Ambiga memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah memutuskan untuk tidak bertanding.

"Ada cadangan daripada ahli-ahli masyarakat sivil tertentu supaya kami menawarkan diri sebagai calon, tetapi saya telah menolaknya.

"Saya tidak akan bertanding," kata Ambiga ketika dihubungi.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa Maria dan Ambiga sedang berundingan dengan PKR, parti komponen Pakatan Harapan mengenai kemungkinan diturunkan sebagai calon.

[Baca berita penuh]