Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah memulakan tindakan saman fitnah terhadap sesiapa walaupun terdapat pelbagai tuduhan dan kenyataan palsu yang dibuat ke atasnya ketika memimpin negara selama 22 tahun, dan selepas dirinya bersara.

Mahathir, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam saman fitnah anaknya terhadap bekas Presiden Transparency International, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Katanya, seseorang pemimpin mungkin berdepan pelbagai tuduhan kerana rakyat tidak menyukai pemimpin itu.

"Bagaimanapun, tanggungjawab saya sebagai pemimpin adalah untuk membuktikan kepada rakyat berhubung perkhidmatan saya, dengan melakukan perkara yang betul dalam memimpin negara.

"Respons saya sentiasa adalah tidak mengambil tindakan mahkamah, tetapi bagi membuktikan bahawa saya betul melalui kerja-kerja yang saya lakukan sebagai perdana menteri.

"Apa lebih penting, saya tidak pernah berjanji untuk tidak saman tetapi kemudian saya tidak memfailkan saman, seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Najib (Razak)," kata bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata beliau menyokong tindakan Mukhriz memfailkan saman tersebut memandangkan tindakan Tunku Aziz dan orang sepetinya sengaja mahu mencemarkan kerjaya politik anaknya.

[Baca berita penuh]