Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tun Faisal Ismail Aziz menempelak kritikan terhadap diet sihat makanan quinoa - bijirin mahal dari Amerika Selatan - yang diamalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dedak kuda lagi mahal daripada yang 'caitro' @chedetofficial dan Pakatan dapat.

"Untung la jadi kuda Mahathir," ciap Tun Faisal dalam hantaran terbaru di Twitter yang disertai dengan gambarajah.

Dalam gambarajah tersebut, Tun Faisal berkata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad membelanjakan lebih RM55,000 sebulan untuk makanan 40 ekor kudanya.

Tun Faisal turut menunjukkan Mahathir dalam wawancara dengan CNN Indonesia mendedahkan beliau memiliki kira-kira 40 ekor kuda yang diberikan sebagai hadiah daripada teman-teman beliau.

"Mahathir mengaku kuda-kuda dia diberi makan karot (lobak merah).

"Mahathir mengaku bela 40 ekor kuda," ciap Tun Faisal sebagai mengulas kenyataan Mahathir hari ini yang beliau tidak memiliki kuda di Argentina.

"Satu kuda boleh makan 10 kg karot sehari, (kos) sama dengan RM 45.90 sehari.

"RM55,080 kos karot sebulan," kata Tun Faisal yang memetik harga lobak merah sekilogram di Tesco.

"Masih mahu kritik Najib makan quinoa untuk jaga kesihatan?" Soalnya di Twitter.