Husni sekali lagi pertahan Najib, 1MDB, soal HARAPAN
Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak menyoal bekas menteri Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah jika beliau sekali lagi bersedia mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.
Pengerusi HARAPAN Perak Ahmad Faizal Azumu berkata beliau 'bimbang' Husni perlu berbuat demikian jika Anggota Parlimen Tambun itu memutuskan untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
"Allah menyuruh kita melawan sebarang kemungkaran.
"Saya bimbang jika Husni merancang bertanding pilihan raya lagi, untuk beliau mempertahankan 'bos' beliau, Najib dan segala salah laku dalam 1MDB," Faizal memberitahu Malaysiakini.
Husni meletak jawatan menteri kewangan kedua dan kesemua jawatan beliau dalam Umno secara tiba-tiba sebelum rombakan kabinet 2016 selepas beliau berkata menerima 'petunjuk dari Ilahi'.
Tertekan 1MDB, tukar nada sokong Najib
Beliau turut mengakui begitu amat tertekan selama beberapa bulan sebelum perletakan jawatan beliau kerana ditugaskan menyelesaikan kontroversi 1MDB walaupun beliau bukan sebahagian daripada syarikat milik kerajaan itu ketika di awal penubuhannya.
Namun demikian, setahun kemudian Husni menukar nadanya mengisytiharkan beliau penyokong setia Najib dan menyatakan keyakinan beliau Malaysia akan mencapai tahap rasuah sifar apabila Najib berundur suatu hari nanti.
Pada 25 Februari lalu, Husni berkata beliau akan bertanding PRU14 jika diberi restu oleh Najib.
Beliau berkata, pengalaman selaku bekas menteri kabinet dan Ketua Umno Bahagian Tambun selama 23 tahun boleh dijadikan sebagai platform terus mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) khususnya bagi kerusi parlimen berkenaan.
Bagaimanapun, pengerusi HARAPAN Perak mendoakan 'yang terbaik' buat Husni dan berharap beliau dipilih BN mempertahankan kerusinya.
"Beliau sendiri yang berkata, beliau berpegang kepada 'petua satu kuda'. Oleh kerana beliau memutuskan untuk setia kepada tuannya, Najib, saya harap beliau tidak kecewa," kata Faizal yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak.
[Baca berita penuh]

