Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil sebarang dokumen yang berkaitan dengan urusan tanah Ijok dari pejabatnya.

Dalam sebuah video yang dimuat naik ke Facebook malam tadi, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata tiada masalah jika SPRM mahu berbuat demikian.

"Nak siasat, siasat. Tidak ada masalah (kerana) kerajaan negeri terbuka dan berintegriti," katanya.

Beliau mendakwa bahawa kerajaan Selangor mahu menyelamatkan peneroka di Ijok, bukan syarikat-syarikat besar.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kerajaan negeri telah mengembalikan tanah di Ijok kepada dua syarikat pembangunan yang kemudian menjualnya kepada pihak ketiga pada harga pasaran berjumlah RM1.18 bilion, manakala pampasan yang diberikan kepada peneroka hanya kira-kira RM420 juta.

SPRM telah menafikan spekulasi bahawa ia menyerbu pejabat menteri besar pada 21 Februari.

Sambil menyasarkan BN Selangor, Azmin berkata kerajaan negeri sebelumnya yang mengambil tanah dari para peneroka dengan meminta mereka menyerahkan hak milik tanah mereka.

Sebagai balasan, Azmin berkata, para peneroka dijanjikan wang tunai RM180,000 dan sebuah rumah bernilai RM180,000 oleh pemaju.

"Tunggu punya tunggu selama 20 tahun tak boleh selesai," katanya.

[Baca berita asal]