Pejabat Peguam Negara (AGC) telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk membatalkan saman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mencabar hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian pertukaran asing (forex) oleh Bank Negara sekitar tahun 1990-an.

Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob hari ini mendedahkan bahawa mahkamah telah menetapkan 19 April untuk mendengar permohonan yang difailkan bulan lalu itu.

Beliau berkata, AGC akan menimbulkan bantahan mereka dengan alasan bahawa tidak ada sebab yang munasabah untu berbuat demikian, dan penemuan RCI adalah pertikaian yang tidak boleh diadilit.

Pada Disember tahun lalu, Mahathir memfailkan saman pemula dan menamakan semua enam anggota RCI iaitu Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K Pushpanathan dan Yusof Ismail - bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kabinet dan kerajaan sebagai defendan.

Bekas perdana menteri memohon pengisytiharan bahawa RCI tidak sah mengikut undang-undang dan tidak boleh diterima kerana ia tidak memuatkan semua kenyataan saksi atau kenyataan mereka yang memberi keterangan, termasuk permintaan bertulis atau lisan dalam bentuk transkrip atau rakaman video dan penghujahan yang dibuat oleh peguam.

Mahathir juga mahu kos saman ditanggung oleh defendan.

Beliau menghantar surat tuntutannya pada 4 Disember tahun lalu dengan mendakwa bahawa laporan 495 muka surat itu tidak termasuk transkrip, hujahan dan keterangan semua saksi.

Beliau juga memberikan RCI sehingga 8 Disember tahun lalu untuk memasukkan semua ini dalam laporan berkenaan.

Laporan RCI menyimpulkan bahawa Bank Negara kehilangan RM31.5 bilion berikutan spekulasi dalam pasaran tukaran mata wang antara 1992 dan 1994.

Antara lain, laporan itu menyalahkan Mahathir, bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian itu.