Lebih 300 keluarga Orang Asli di Pos Tohoi di Gua Musang, bersetuju berpindah ke kampung baru yang dicadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi memberi laluan kepada pembinaan projek jana kuasa mini hidroelektrik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Cali berkata persetujuan itu dicapai dalam perbincangan antara penduduk dan pengurusan TNB yang diadakan baru-baru ini.

"Perpindahan ke kampung baru tersebut akan dilakukan sebaik pembinaan rumah siap termasuk disediakan kemudahan jalan, elektrik dan air bersih supaya kami dapat tinggal dalam keadaan selesa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tohoi hari ini.

Zainal berkata sebelum ini penduduk membantah cadangan pembinaan projek tersebut di Sungai Perias, Pos Tohoi kerana ia bakal mengundang banyak masalah terutama terdedah kepada kejadian banjir dan pencemaran bekalan air untuk masyarakat itu.

"Selepas kami menerima penjelasan berhubung perkara itu daripada TNB, kami semua bersetuju pindah ke kampung baru yang terletak di atas bukit berdekatan yang lebih selamat," katanya.

Zainal berkata kampung asal kaum itu diwujudkan nenek moyang mereka berpuluh tahun lalu.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut supaya ia tidak menjejaskan sumber pendapatan dan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata pembinaan projek berkenaan sudah lama dicadangkan TNB untuk faedah penduduk Orang Asli dan penduduk lain sekitarnya.

Beliau berkata penduduk Orang Asli yang terbabit dengan kawasan pembinaan projek berkenaan hendaklah memberi kerjasama berdasarkan perjanjian yang dimeterai kedua-dua pihak. -Bernama