Umno yang tak bersyukur kepada Kuok, kata Guan Eng
Umno "jelas tidak bersyukur " kepada jutawan Robert Kuok, yang telah menyumbangkan wang kepada parti itu dan MCA pada masa lalu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim berkata Kuok secara terang-terangan mengakui berbuat demikian dalam memoirnya, pada muka surat 260, di mana jutawan itu menulis: "Saya sering diminta memberikan sumbangan besar kepada parti pemerintah, Umno dan MCA, selepas merdeka pada tahun 1957. Saya memberi dengan senang hati, gembira dan bebas ".
Di sebalik “murah hati” Kuok terhadap Umno, Lim kesal bahawa beberapa pemimpin parti termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melancarkan serangan peribadi dan jahat terhadap jutawan itu.
Lim berkata serangan ke atas Kuok mempunyai unsur perkauman dan melampau, kerana Umno tidakpernah bertindak sedemikian ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima sumbangan "RM2.6 bilion".
"Ini bukan hanya kes jelas mengenai dwi-standard, tetapi kes melampau di mana kumpulan minoriti etnik Malaysia dibuli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin Umno berlumba-lumba mengasak lelaki paling kaya di negara ini apabila sebuah artikel dalam blog Malaysia Today mendakwa kononnya Kuok menaja parti DAP dan membiayai portal The Malaysian Insight.
Kuok walau bagaimanapun menafikan dakwaan sedemikian.

