Kuok lelaki kelas pertama, kata adik Najib
Selepas Tan Sri Robert Kuok diserang beberapa pimpinan BN, Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak pula mengambil sikap berlawanan apabila tampil memuji individu terkaya di Malaysia itu.
Memuatnaik gambar bersama Kuok di Instagramnya, adik kepada perdana menteri itu berkata Kuok merupakan seorang ahli perniagaan yang patriotik terhadap negara ini.
Menurutnya, meskipun tidak bersetuju dengan semua pandangan Kuok, beliau menyifatkan 'jutawan gula' itu sebagai 'lelaki kelas pertama'.
"Saya cukup bertuah dapat meluangkan masa bersama Robert Kuok selama bertahun-tahun dan juga dapat membaca buku beliau.
"Saya mungkin tidak bersetuju dengan semua pandangannya tetapi dia merupakan seorang patriot, ikon perniagaan Malaysia dan seorang lelaki kelas pertama," tulis Nazir.
Kuok sebelum ini diserang oleh pemimpin BN selepas didakwa menaja DAP susulan artikel ditulis blogger Raja Petra Kamaruddin di Malaysia-Today pada 23 Februari.
Pada hari berikutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan di suatu persidangan berkata 'Raja Gula Malaysia' itu berjaya atas peluang yang dicipta melalui dasar kerajaan.
Antara menteri kabinet dan pimpinan tertinggi Umno yang membidas Kuok sebagai tidak mengenang budi termasuk setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli majlis tertinggi Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Azlina Othman Said.
Susulan itu, pejabat Kuok mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan beliau menaja pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
Sebaliknya Kuok berkata beliau menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya dan mengiktiraf jasa rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
Najib kemudian menerusi kenyataan melalui setiausaha akhbarnya, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad 'menyambut baik' pengakuan tersebut.

