Timbalan Sheikh Institut Al-Azhar As-Syarif, Profesor Dr Abbas Shouman, pada Selasa menggesa seluruh umat manusia agar bersatu dan saling bekerjasama meskipun berlainan agama atau mazhab, lapor kesatuan agensi berita Islam antarabangsa (UNA).
Al-Azhar As-Syarif adalah pusat ilmu Islam terbesar di dunia yang berperanan memelihara warisan Islam selain mempromosi keamanan, keharmonian, konsep wasatiyyah dan penyelidikan serta membawa mesej Islam sebenar kepada masyarakat di seluruh dunia.
“Perbezaan mazhab dalam sesebuah agama bertujuan memudahkan pengikutnya, bukan untuk menimbulkan perpecahan dan permusuhan yang boleh membawa kepada konflik serta peperangan,” kata Shouman ketika berucap pada hari kedua Dialog Memperkasa Kehidupan Harmoni Bersama di Vienna, Austria yang bermula Isnin.
Al-Azhar percaya setiap manusia berhak untuk hidup dalam keadaan aman dan damai tanpa mengira agama atau bangsa, kata beliau sambil menambah bahawa peluang pengikut mazhab yang berlainan untuk bekerjasama masih ada.
Katanya, pada 2011, Al-Azhar telah menubuhkan satu entiti dinamakan “Rumah Keluarga Mesir” yang menggabungkan gereja-gereja di negara itu dengan institut tersebut, yang memiliki jawatankuasa berkaitan pendidikan, media, wanita dan belia.
“Pihak Al-Azhar bukan sahaja mampu bekerjasama dengan pengikut agama dan mazhab berlainan, bahkan semua umat manusia di dunia,” katanya.
Shouman berkata Sheikh Al-Azhar, Ahmed El-Tayeb, sering mengetuai dialog bersama pihak gereja selain menerima kunjungan delegasi yang mewakili agama dan budaya berbeza.
Beliau berkata Dialog Memperkasa Kehidupan Harmoni Bersama turut membincangkan cadangan yang boleh diterapkan di dunia ini.
“Ia (cadangan itu) mampu menyumbang dalam mewujudkan kehidupan bersama yang damai dan harmoni selain mengelak pertikaian yang hanya akan membawa kepada konflik serta peperangan,” katanya.
Antara badan yang bernaung di bawah Institut Al-Azhar ialah Majlis Tertinggi Al-Azhar, Majlis Ulama Al-Azhar, Pusat Kajian dan Penyelidikan Al-Azhar, Universiti Al-Azhar serta Maahad Al-Azhar.
-Bernama
