Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mulut kotor kurang ajar' - surat terbaru Lee buat Nazri
Diterbitkan:  Feb 28, 2018 7:15 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Keenganan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang enggan memohon maaf berhubung bidasannya ke atas jutawan Robert Kuok sekali lagi mengundang keberangan tokoh perniagaan Tan Sri Lee Kim Yew.

Hari ini, melalui surat terbuka dalam bahasa Cina, pengasas dan pemegang saham utama Country Heights Holdings Bhd itu menyelitkan serangkap pantun.

"YB tidak YB, tapi kasar sangat kasar;
Mulut kotor kurang ajar,
Lupa diri penting seorang menteri budaya;
Makan gaji besar, kasi orang susah.”

Bagi Lee, adalah penting bagi menteri Umno itu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.

"Bukan sahaja kamu menteri pelancongan, tetapi kamu juga menteri kebudayaan.

"Permohonan maaf kamu bukan sahaja baik buat orang Cina tetapi juga kepada semua kaum lain.

"Sebagai orang Cina, kamu memarahi orang tua yang amat kita hormati pada masa perayaan Cina. Selepas mendengarnya, bagaimanakah kita tidak mengulas? Jika kita tidak mengulas, adakah kita masih Cina?

"Saya bangga menjadi orang Cina dan saya, kerana Cina Malaysia adalah kegembiraan saya," katanya dalam bahasa Mandarin.

Dalam suratnya yang dihantar kepada akhbar China Press, beliau berkata Nazri telah "memijak maruah bangsa Cina" dengan kenyataannya memandangkan Kuok mewakili maruah masyarakat Cina.

Lee menerusi surat terbuka pertamanya semalam, menyelar Nazri kerana menganggap apa yang diluahkan oleh pemimpin Umno adalah sesuatu yang kasar.

"Mungkin kamu menikmati penggal terlalu lama (dalam kabinet), usaha perniagaan yang tidak memerlukan modal.

"Kamu lupa bahawa kamu perlu mengimbangi apa yang kamu terima dan apa yang kamu perlu berikan kembali.

"Kamu sudah lupa apa itu demokrasi, dan percaya bahawa negara ini nilik parti," katanya.

Akhir-akhir ini, Kuok telah menjadi tumpuan bidasan oleh pemimpin Umno berhubung satu artikel di blog Malaysia Today yang menuduh jutawan itu menaja parti pembangkang.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datruk Seri Najib Razak berkata Kuok harus bersyukur kerana dasar BN membantu menjadikannya kaya.

Berikutan itu, para pemimpin Umno, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, terus membidasnya.

Walau bagaimanapun, bidasan paling kasar datang daripada Nazri, yang mencabar Kuok bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan menggesa lelaki paling kaya di negara ini agar tidak menjadi 'pondan' dan 'ayam betina' kerana berselindung di Hong Kong dan memberi dana kepada DAP.

Pejabat Kuok kemudian mengeluarkan kenyataan yang menafikan dakwaan bahawa beliau membiayai pembangkang dan portal The Malaysian Insight dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan BN.

 

Lihat Komen
ADS