Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dewan Muslimat PAS tiada masalah dengan baiah sumpah setia laknat dan baiah talak tiga yang diamalkan parti itu terhadap wakil rakyatnya.

Ketuanya Nuridah Mohd Salleh berkata amalan itu telah menjamin kesetiaan wakil rakyatnya agar tidak lompat parti dan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab yang dipikul.

"Kita tak ada masalah (dengan baiah). Dewan Muslimat melihat baiah memang dapat mengukuhkan PAS misalnya di Kelantan.

"InsyaAllah kita yakin apa yang dibawa allayarham Datuk Nik Aziz Nik Mat telah nampak keberkesanannya," katanya ketika majlis ramah mesra Dewan Muslimat PAS bersama media di ibu pajabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Dewan Ulama PAS awal bulan lalu untuk menyelaraskan kandungan baiah bagi setiap negeri.

Antaranya parti itu mungkin akan menggugurkan baiah talak tiga seperti yang diamalkan PAS Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Amalan itu dikritik banyak pihak antaranya kerana dikatakan merendahkan institusi rumah tangga, termasuk oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Nuridah sebaliknya berkata, amalan itu menunjukkan PAS memandang serius soal kepimpinan negara.

"Ia bukan untuk dijual beli, kita tahu kepimpinan adalah perkara serius dan bukannya main-main," katanya lagi.

Namun beliau berkata pihaknya menerima apa sahaja keputusan parti berhubung perkara itu.

PAS Kelantan sebelum ini juga berkata akan menimbang kembali pelaksanaan baiah pada PRU ke-14 namun tetap bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

Sumpah baiah talak tiga diwajibkan kepada semua wakil rakyat PAS di Kelantan pada PRU lalu untuk memastikan mereka tidak melompat parti dan jika berbuat demikian isteri mereka tercerai dengan talak tiga.

Lihat Komen
ADS