'Jho Low tiada dalam kapal ketika rampasan'
Hartawan Low Taek Jho, individu utama dalam skandal 1MDB, tiada dalam kapal layar mewah Equanimity ketika polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) merampasnya di Bali hari ini.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) sebelum ini mendakwa Low, atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, mengarahkan kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa disalah guna daripada 1MDB.
Pengarah ekonomi dan jenayah khas polis Indonesia Agung Setya mengesahkan pemilik kapal layar itu bukan sebahagian daripada 34 individu yang berada dalam kapal itu hari ini.
"Semua yang ada di kapal adalah kru, 34 orang," katanya seperti dipetik steven TV Indonesia Metro TV.
Diminta mengesahkan pemilik kapal layar itu tiada ketika rampasan, Agung berkata: "Ya. Kapal itu tidak ada penumpang. Semua adalah kru."
Beliau berkata pihak berkuasa Indonesia akan memutuskan langkah seterusnya berkenaan pemilik kapal layar selepas ini.

Polis Indonesia dan FBI merampas Equanimity di perairan Bali selepas memantaunya selama lapan hari.
Laporan media Indonesia menunjukkan kapal itu berada di perairan Indonesia sejak November tahun lalu.
Metro TV berkata ia dirampas dengan kebenaran mahkamah.
DOJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB dan mengambil langkah menyita aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa diperolehi menggunakan wang itu.
Penglibatan DOJ dalam isu tersebut ekoran wang itu "dicuci" melalui sistem kewangan Amerika Syarikat.

