Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi amaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelak fitnah.

Dzulkifli berkata, peringatan kepada kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan itu membabitkan kenyataan mereka berhubung kes penjualan tanah di Ijok serta projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menurut Dzulkifli, kedua-dua pemimpin negeri itu sepatutnya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas memandangkan semua pihak mahu perkara berkenaan diselesaikan secara profesional, lapor Utusan Malaysia.

“Sebagai contoh, sebelum ini Mohamed Azmin mendakwa SPRM menyerbu pejabatnya berkaitan isu penjualan tanah milik kerajaan negeri seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok kepada sebuah syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

“Saya ingin tegaskan, SPRM tidak pernah serbu pejabat menteri besar untuk kes tersebut, mungkin Mohamed Azmin bermimpi di siang hari,” katanya yang dipetik daripada laporan berkenaan.

Menjelaskan tentang kes penjualan tanah di Ijok, Dzulkifli berkata SPRM hanya menyerbu lima syarikat iaitu empat syarikat pemaju serta sebuah firma guaman dan merampas beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan yang dibuat.