Untung bersih Petronas melonjak 91.2 peratus kepada RM45.4 bilion
Keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 melonjak 91.2 peratus kepada RM45.4 bilion daripada RM23.8 bilion pada 2016.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata perolehan meningkat 14.6 peratus kepada RM223.6 bilion daripada RM195.1 bilion yang dicatatkan pada 2016.
“Prestasi cemerlang ini dipacu oleh usaha transformasi berterusan syarikat yang menumpukan pengoptimuman kos dan penambahbaikan kecekapan selain disokong harga komoditi lebih tinggi dan peningkatan margin.
“Perolehan lebih kukuh itu pula didorong harga purata direalisasikan lebih tinggi yang diraih produk utama di samping kesan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan 2017 Petronas di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata aset keseluruhan setakat 31 Dis, 2017 turun sedikit kepada RM599.8 bilion daripada RM603.4 bilion pada 2016, disebabkan terutamanya kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

