Gobind pula kata AG salah
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo hari ini berkata, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali salah apabila berkata, kerajaan tidak akan menuntut kapal layar mewah milik ahli perniagaan Jho Low yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia.
Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong dan seorang peguam, berkata ujiannya bukan sama ada kapal layar itu milik kerajaan tetapi Equanimity ada berkaitan dengan siasatan utama.
Beliau berkata jika hujah itu digunakan maka kerajaan tidak boleh membeku atau merampas harta peribadi seseorang kerana ia juga bukan dimiliki oleh kerajaan.
"Ujian itu sepatutnya sama ada atau tidak aset berkenaan sebahagian atau berkaitan dengan sebarang siasatan baik di Malaysia mahupun dalam bidang kuasa negara lain dan sama ada rampasan itu akan membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Gobind mengulas kenyataan Apandi semalam yang menyoal mengapa kerajaan Malaysia perlu menuntut Equanimity sedangkan ia bukan milik negara.
Polis Indonesia dan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI), Selasa lalu, merampas kapal layar milik ahli perniagaan Jho Low bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) di pulau peranginan Bali, Indonesia.
Kapal itu dicari oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat yang mendakwa bahawa ia telah dibeli menggunakan dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.
Secara keseluruhan, DoJ sedang berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB yang diselewengkan.
Walau bagaimanapun, Putrajaya telah menegaskan bahawa dana 1MDB tidak hilang atau dicuri.
Semalam, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin juga tidak bersetuju dengan pendirian Apandi.
Katanya, walaupun kapal layar itu bukan milik kerajaan dan bukan atas nama kerajaan, namun saman DoJ ke atas 1MDB juga mempunyai kaitan dengan kerajaan.
“Begitu juga Jho Low ada kaitan yang rapat dengan 1MDB, dengan MO1 (Malaysian Official 1), dengan kerajaan.
“Justeru, kerajaan tak boleh nak lari dari tanggungjawab,” kata Hanipa yang merupakan seorang peguam.

