Polis wanita dakwa pegawai atasan paksa buat seks oral
Seorang inspektor polis wanita yang masih dalam tempoh percubaan membuat laporan terhadap pegawai atasannya mendakwa dipaksa melakukan seks oral.
Memetik sumber, The Star melaporkan wanita 28 tahun itu dijemput makan malam bersama suspek kira-kira jam 8 malam pada 25 Februari di sebuah restoran di Kangar, Perlis, tetapi tutup.
Suspek kemudian dilapor memandu ke tempat terpencil sebelum kejadian berlaku.
Sumber-sumber memaklumkan harian itu bahawa mangsa tidak melawan kerana bimbangkan keselamatannya.
Mangsa juga sebelum itu mengadu suspek meraba punggungnya di pejabat tahun lalu dan mengancam menyusahkan kerjanya jika dia menolak.
Pada hari yang sama dia diraba, kata mangsa, suspek turut membuat laporan mendakwa insiden itu tidak berlaku dan dakwaan itu bertujuan merosakkan nama baiknya.
Dalam laporan itu, pegawai kanan itu mendakwa wanita itu tidak gembira dikritik kerana tidak melakukan kerja dengan betul.
Lelaki itu juga mendakwa wanita itu dipengaruhi “pihak luar”.
Lelaki yang pangkatnya tidak disebut itu dilapor dipindahkan ke daerah lain dan diarah bercuti sehingga siasatan selesai.

