Hanya sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP), seorang remaja hari ini tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia mendakwa berlakunya kekejaman polis.

Jayeendiran Kumaresan, 18, yang diiringi oleh peguam G Sivamalar dan ahli keluarganya, menyerahkan aduannya itu kepada Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph di pejabatnya di Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut Sivamalar, Jayeendiran dan bapanya A Kumaresan ditahan dan direman selama lapan hari bermula 7 November tahun lalu di balai polis Kuala Selangor berhubung penyiasatan mengenai kes rompakan.

Kedua-dua mereka kemudiamnnya dibebaskan tanpa sebarang tuduhan, kata Sivamalar, yang juga adalah naib pengerusi Wanita PKR, dalam satu kenyataan media.

“Dalam tempoh lapan hari dalam tahanan polis, Jaayendiran mendakwa dia diseksa dan dipukul dengan paip getah selama lebih daripada satu jam oleh dua anggota polis berpakaian biasa yang telah memaksa beliau untuk membuat pengakuan salah.

“Apabila dia mengadu kesakitan dan kehausan, seorang pegawai polis telah menendangnya, sementara yang lain menuangkan air dari mangkuk tandas ke dalam lubang hidungnya,” katanya.

Menurut Sivamalar, walapun, Jayeendiran pada 27 November lalu telah membuat laporan polis dan memohon supaya polis segera menyiasat dakwaan penyeksaan fizikal dan mental sewaktu dalam tahanan itu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

[Baca berita penuh]