Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan kerajaan Selangor untuk menangguhkan penyerahan laporan inkuiri tempatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan persempadanan semula kepada perdana menteri sementara menunggu rayuan.

Permohonan penangguhan itu bertujuan mengelakkan SPRM menyerahkan laporan itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, sehingga rayuan kerajaan Selangor diselesaikan.

Kerajaan Selangor membuat rayuan itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac depan.

“Kami hanya minta tangguh, itu saja,” kata peguam kerajaan negeri Gurdial Singh Nijar kepada pemberita selepas keputusan itu disampaikan hari ini.

Katanya, selepas keputusan disampaikan pada 23 Mac, SPR boleh meneruskan penyerahan laporan itu jika keputusan memihak pada mereka.

Bagaimanapun, dengan keputusan hari ini, kata Gurdial, SPR boleh menyerahkan laporannya kepada perdana menteri sebelum keputusan rayuan diperoleh.

“Kalau keputusan nanti memihak pada kami macam mana?

“Lepas itu kita semua kena berteleku dan berdoa sebab kamu pun tak tahu nak buat apa nanti,” katanya.

[Baca berita asal]