BERITA Malaysiakini

Isu Equanimity: Siapa benar, siapa palsu?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Insiden penahanan kapal persiaran mewah di Teluk Benoa, Bali kelmarin mencetuskan reaksi yang berbeza daripada media serta wakil kerajaan.

Keadaan itu juga menimbulkan pertanyaan kepada orang ramai mengenai status sebenar kapal yang bernama Equanimity itu, sama ada dimiliki hartawan muda dan kontroversi, Jho Low, atau sebaliknya.

Bekas pengarang kanan Utusan Malaysia hari ini menyertai sejumlah individu yang menuntut penjelasan sebenar.

Menurut Ku Seman Ku Hussain, ada dua versi maklumat mengenai Equanimity itu, dengan satu daripadanya oleh media dan satu lagi daripada menteri.

Memetik laporan BH Online semalam, Ku Seman berkata portal itu menyiarkan laporan mengenai kekesalan Jho Low atas tindakan pihak berkuasa Indonesia serta AS menyita kapal berkenaan.

Hari ini pula katanya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak pula berkata, tidak ada bukti kapal mewah berkenaan dimiliki Jho Low.

"Mana satukah berita yang benar, mana satukah berita palsu?

"Mustahil kedua-dua benar, atau kedua-duanya palsu," katanya yang meninggalkan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd pada Mac 2016.


Baca 'Jika Equanimity bukan Jho Low punya, kenapa sembunyi?'


Menurut Ku Seman, sebenarnya dia lebih percaya kepada laporan berita BH Online berbanding kenyataan dibuat Salleh.

Alasannya, jika Equanimity itu bukan dimiliki Jho Low, tidak ada sebab ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu mengeluarkan kenyataan media.

Ku Seman merujuk kepada laporan BH Online yang menyiarkan kekesalan Jho Low ekoran tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS meneruskan sitaan aset tanpa sebarang langkah membuktikan kesalahan yang dikaitkan terhadapnya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui jurucakapnya BH Online melaporkan ahli perniagaan itu berpendapat tindakan DOJ dibuat berdasarkan tuduhan salah serta bermotifkan politik.

Kata Ku Seman, apa yang berlaku ekoran penyitaan itu juga menyebabkan aib kepada Malaysia apabila laporan mengenainya tidak disiarkan oleh hampir semua media arus perdana.

"Malunya media Indonesia beri liputan meluas (sedangkan) kita senyap sunyi.

"Saya faham wartawan kita (tetap) menjalankan tugas mereka, cuma gatekeeper (pihak yang mengawal) di Putrajaya tidak melepaskan (memberi lampu hijau)," katanya.