Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pungutan suara tentukan pelaksanaan semula PPSMI, kata Dr M

Jika menang pada pilihan raya umum ke-14, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan pungutan suara berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan HARAPAN akan membuat keputusan berdasarkan maklum balas daripada rakyat.

"Soal itu (PPSMI) kita tanya pendapat orang ramai. Dasar itu dimansuhkan tetapi permintaan (untuknya) cukup banyak. Ada sekolah yang pakai bahasa Inggeris, ada yang pakai bahasa Melayu.

"Jadi apabila jadi kerajaan, kita akan adakan pungutan suara. Kita pakai bahasa Inggeris atau bahasa Melayu (seperti) yang dikehendaki orang ramai," katanya pada sidang media selepas program doa selamat di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Mahathir yang merupakan calon perdana menteri HARAPAN berkata kerajaan gabungan itu akan menimbang pelaksanaan semula PPSMI jika mendapat sokongan ramai.

Ia diperkenalkan pada 2003 ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Dasar itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk parti pembangkang dan NGO yang mengadakan demonstrasi pada 2009 yang menyaksikan ribuan turun ke jalan raya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri pendidikan akhirnya memansuhkan dasar itu pada 2012.

Ketika ditanya tentang parti dalam Pakatan Rakyat yang dahulunya menentang PPSMI, Mahathir berkata ia antaranya kerana tiada perbincangan dengan mereka ketika itu.

"Pada masa itu saya belum ada perbincangan. Tetapi sekarang ini kita bersetuju agar (PPSMI) dirujuk kepada orang ramai," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS