Anggota Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan sekiranya masih diperlukan.
Beliau yang juga presiden parti Gerakan berkata parti itu akan menyerahkan namanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 namun keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional.
Menurutnya, beliau tidak akan lari atau berpindah daripada kawasan yang diwakilinya sebagaimana yang sering dilakukan pemimpin pembangkang seperti DAP.
"Secara umum, ramai wakil rakyat pembangkang yang hendak lari dari kawasan atau masalah di kawasan mereka. Tetapi saya tidak akan lari dari kawasan saya, saya sudah berkhidmat di sana (Teluk Intan).
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera (Edisi Perak) di Pusat Konvensyen Ipoh semalam.
Mah berkata, jika dilihat, di Teluk Intan, selama 10 kali pilihan raya diadakan parti pembangkang DAP tidak pernah bertanding semula di kawasan yang sama.
“DAP calonnya tiap-tiap kali mesti tukar. Calon yang menang pun “tak stay”, yang kalah pun takkan bertanding lagi,” katanya.
Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Anggota Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang mahu bertanding di Teluk Intan.
- Bernama
