Bagi Tun Dr Mahathir Mohamad, senjata utama musuhnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah wang dan 'gula-gula' yang digelarnya sebagai 'dedak'.

Ketika Najib mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk Langkawi, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata ia sebagai reaksi spekulasi beliau akan bertanding di sana.

Beliau menyifatkan peruntukan itu sebagai taktik membeli undi kepada BN.

"Dia fikir cash is king...Dia ingat orang Melayu boleh dibeli dengan wang," katanya dalam ceramah di Felda Chini, Pekan pada 28 Februari lalu.

Namun berbeza pula tanggapan segelintir penduduk Pekan, yang merupakan kampung halaman dan kawasan Parlimen Najib. Ada yang merasakan Mahathir tidak sepatutnya berkata-kata sedemikian.

"Terguris (hati) apabila beliau berkata begitu, yang undi kita boleh dibeli," kata Abu Bakar Ibrahim, 57, ketika ditemui Malaysiakini.

Rakannya Zainal Abidin, 48, pula mencelah dan mengatakan sudah menjadi perkara biasa untuk perdana menteri membawa pembangunan di kawasannya.

"Sesiapa yang menjadi perdana menteri akan beri tumpuan kepada kawasannya. Sama seperti Mahathir dulu yang membangunkan Langkawi," katanya.

Pekan, sebuah bandar kecil di Pahang, telah menyaksikan banyak pembangunan sejak Najib menjadi perdana menteri.

Sementara ia bukanlah kawasan metropolitan, banyak projek telah dilaksanakan di sana seperti ibu pejabat polis daerah baru yang dibuka pada penghujung 2016.

Jika anda memandu 10 minit daripada kawasan industri di bandar Pekan, anda dapat melihat Pusat Pembangunan Luar Bandar (RTC) yang dilancarkan pada 2013 dan Universiti Automotif DRB-Hicom Malaysia.

Sebahagian graduannya kemudian berkerja di kilang-kilang kereta di sana, termasuk yang dimiliki Mercedez-Benz.

Di Felda Chini pula, anggota jawatankuasa Umno Pekan Abdul Rahmi Yahya berkata banyak dewan komuniti dibuka pada awal tahun ini manakala kerja-kerja pembesaran jalan satu lorong dari Pekan ke situ dijangka siap tahun depan.

Bukan semua positif

Projek-projek ini menyumbang kepad populariti Najib di Pekan dan menjadi antara sebab majoriti yang dimenanginya kian meningkat sejak tiga PRU lalu.

Pada 2013, beliau mendapat majoriti lebih 35,000 undi berbanding 26,000 undi pada 2008 dan 23,000 undi pada 2004. Ia jauh berbeza dengan PRU 1999, apabila beliau dikejutkan apabila hanya meraih kelebihan 200 undi.

Namun bukan semuanya positif di Pekan.

Ada penduduk merungut kos sara hidup di bandar diraja itu semakin tinggi. Seorang responden, Rohani Abdullah (gambar), berkata ia menyamai kos hidup di bandar besar.

Ibu kepada enam anak itu berkata gaji di Pekan juga kekal rendah dengan gaji pokok untuk pekerja kilang - seperti anak sulungnya - hanyalah pada kadar RM1,000.

Rohani dan sebilangan penduduk Pekan lain bagaimanapun merasakan Najib tidak sepatutnya dipersalahkan atas masalah itu.

Namun bagi sesetengah yang lain, yang benar-benar merasakan kesan kenaikan kos sara hidup, mereka yakin pembangkang mempunyai peluang di Pekan pada PRU kali ini, sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti Najib.