Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, sebuah gabungan NGO Islam hari ini menyatakan kesediaan memberikan sokongan kepada pihak yang menyokong tuntutan mereka berkaitan agama Islam.

Antaranya adalah komitmen menolak fahaman yang "berselindung di sebalik topeng liberalisme dan pluralisme" serta menyekat unsur yang menggugat keharmonian seperti murtad dan penyebaran agama lain terhadap penganut Islam.

Tuntutan itu disampaikan menerusi Deklarasi NGO-NGO Islam Malaysia Sempena PRU ke-14 pada seminar Kepimpinan Negara ke arah Kecemerlangan Masyarakat anjuran Gabungan Perikatan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN) di Kuala Lumpur hari ini.

Deklarasi sepuluh perkara itu juga menuntut semua parti yang bertanding agar menghormati undang-undang dan Perlembagaan ketika berkempen, debat terbuka antara parti politik di peringkat nasional serta gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU dengan telus dan adil.

"Kami mempertegaskan kepimpinan negara yang dipilih selepas PRU ke-14 mestilah melaksanakan tanggungjawab secara telus tanpa menggadai prinsip keamanan negara yang dipersetujui bersama berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," kata Presiden ACCIN Jamaluddin Samsudin.

Antara NGO yang menyertai deklarasi tersebut adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA), Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pertubuhan Ikram (IKRAM).

Dengan keputusan mahkamah berhubung kes Indira Gandhi dan kes keluar agama Islam empat individu di Sarawak - tiga daripadanya mualaf, soal berkaitan Islam dijangka menjadi antara isu utama pada PRU akan datang.

Dalam sidang media selepas program, Jamaluddin berkata amat penting untuk parti politik menangani masalah berkaitan akidah umat Islam.

"Pemimpin politiklah yang berkuasa jadi perkara ini tak boleh dipandang remeh, akar umbi NGO nampak (liberalisme dan pluralisme) sebagai ancaman yang perlu ditangani dengan berkesan," katanya.

Beliau sebelum itu menyifatkan fahaman tersebut boleh menjadikan seseorang itu bersikap skeptik terhadap agama dan akhirnya menjurus kepada murtad.

Jamaluddin berkata ACCIN akan menyampaikan deklarasi tersebut kepada BN, Pakatan Harapan dan PAS.

"Kita akan uar-uarkan juga kalau parti politik sokong deklarasi ini, kita akan sokong dia," katanya lagi sambil menambah gabungan NGO mempunyai pengaruh kira-kira 400,000 anggota.