Lebih 10,000 peminat sukan permotoran dari Malaysia dan Singapura hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah sebagai sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Golongan membawa motor daripada pelbagai jenis dari yang berkuasa rendah hingga berkuasa tinggi dari 100 kelab permotoran sebulat suara berikrar dengan penuh semangat di Program Himpunan Dua Roda (H2R) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata rangkaian kerjasama bersama komuniti permotosikalan amat penting kerana mereka terdedah kepada jenayah rasuah dan salah guna kuasa di jalanan secara langsung atau tidak.

Beliau berkata seringkali masyarakat melabelkan bikers sebagai Mat Rempit atau hantu jalanan serta mudah terdedah kepada gejala rasuah ketika mereka ditahan pihak berkuasa bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Jauhkan diri daripada perbuatan jijik

“Inilah satu perubahan yang kita bentuk supaya sikap yang sama dihapuskan bagi menjauhkan diri daripada perbuatan jijik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program H2R Bikers Tolak Korupsi 1.0 yang diadakan julung kali itu.

Menurutnya, perhimpunan H2R adalah cerminan kepada masa hadapan negara yang mana generasi muda perlu ada jiwa dan keberanian untuk membawa perubahan dengan menolak rasuah.

“Janganlah sesekali anda semua gentar dalam perjuangan ini kerana kami di SPRM akan sentiasa bersama anda mengharungi perubahan ini.

“Anda merupakan wira-wira jalanan yang akan menjadi mata dan telinga SPRM dan mampu membantu kami dalam usaha membanteras jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Dzulkifli turut melancarkan dua kempen iaitu Revolusi 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle) dan Kempen Street Warriors Against Corruption (SWAC).

Katanya, SPRM kini sedang mengemaskini aplikasi agar ahli-ahli SWAC boleh melaporkan jenayah rasuah secara online agar tindakan penguatkuasaan diambil pantas

 

-Bernama