Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rais Yatim bidas Salleh Keruak pertahan Jho Low
Diterbitkan:  Mar 3, 2018 10:52 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim menegur Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkata tiada bukti yang menunjukkan ahli perniagaan Low Taek Jho adalah pemilik kepada kapal layar mewah Equanimity yang dirampas di Bali.

"Menteri komunikasi cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low. Seeloknya tunggu dulu.

"Jho Low dah menuduh Amerika (Syarikat) dan Indonesia keterlaluan.

"Jelas sudah, Jho Low berkepentingan," ciap beliau dalam hantaran terbaru di Twitter malam ini.

Salleh berkata laporan rampasan kapal itu yang mengaitkannya dengan Low adalah 'berita palsu'.

Manakala itu, ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho melalui jurucakapnya dilaporkan menyifatkan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebagai 'keterlaluan' selepas kapal layar mewahnya dirampas pihak berkuasa di Bali, Indonesia pada 28 Februari lalu.

Rais Yatim yang juga mantan menteri kabinet turut mempersoalkan tindakan beria-ia untuk mempertahankan Jho Low.

"Kenapa beria-ia pertahankan Jho Low.

"Patut pertahankan keadilan," kata beliau.

Kapal bernama Equanimity yang dianggarkan bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) merupakan antara aset yang diburu DOJ kerana didakwa diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.


 

Lihat Komen
ADS