Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dari Umno, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat kerana mengikut jejak ahli majlis tertinggi parti itu Datuk Seri Nazri Aziz dalam menyerang MCA.

Tengku Putra Haron menggelarkan MCA sebagai 'rasis' kerana mempertahankan Robert Kuok dan menuntut perdana menteri menggugurkan MCA daripada kerajaan jika parti itu tidak dapat menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Salah untuk menuduh dan berkata sedemikian kerana terdapat waktu-waktu mereka (MCA) amat membantu kita (Umno).

"Pada 1999, ketika (Datuk Seri) Anwar Ibrahim masih kuat dan sentimen Melayu sangat negatif terhadap Umno, MCA dan sentimen orang Cina membantu BN," kata beliau dipetik The Star Online.

Kontroversi tercetus baru-baru ini, apabila Nazri menggelarkan Kuok sebagai 'pondan' dan mencabar beliau melepaskan kerakyatan Malaysia setelah pengendali blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa hartawan itu mendanai DAP.

Kuok menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau berhak untuk menyaman Raja Petra.

Kemudiannya, Nazri berkata beliau gembira dengan penjelasan Kuok menafikan menaja pembangkang tetapi berkata tidak akan memohon maaf atas kenyataannya.

MCA pula bertegas Nazri perlu memohon maaf menyebabkan 'perang mulut' kedua-dua pihak terus berlanjutan.