Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar minta pemimpin BN kurangkan pendapat peribadi

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa meminta pemimpin BN supaya mengurangkan pendapat peribadi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi mengelakkan timbul kekeliruan di kalangan rakyat.

"Kita nasihatkan pemimpin parti supaya elak timbulkan kekeliruan dan mesej yang salah, sebab (ada) masyarakat tak dapat bezakan antara pendapat peribadi dan parti.

"Saya tengok banyak beri pendapat peribadi walaupun mereka orang kanan parti, rakyat tak dapat bezakan," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian BR1M Parlimen Ketereh, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya isu melibatkan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan pimpinan MCA, baru-baru ini.

Nazri dan pemimpin MCA sejak beberapa hari lalu saling bertikam lidah selepas menteri kabinet itu menyelar individu terkaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok sebagai 'pondan' dan mencabarnya pulang ke Malaysia bagi bertanding pilihan raya.

Nama Kuok mula menjadi sebutan susulan dakwaan blogger Raja Petra Kamaruddin bahawa 'raja gula' itu menaja DAP dan portal The Malaysian Insight bagi menjatuhkan kerajaan.

Kuok bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mengatakan beliau berhak mengambil tindakan terhadap penulis berkenaan.

Pemimpin MCA pula menganggap bidasan terhadap Kuok merupakan serangan terhadap kaum Cina, yang kemudian dinafikan Nazri.

Sebuah akhbar Cina turut melaporkan perbalahan antara Nazri, pemimpin MCA dan Gerakan dalam mesyuarat jemaah menteri berhubung isu berkenaan.

Maklumat palsu menjelang PRU14

Sementara itu Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berpesan kepada pimpinan BN agar berhati-hati menjelang PRU14.

Ini kerana dakwanya, pembangkang sedang berusaha menyampaikan maklumat separa benar dan palsu kepada rakyat di saat-saat akhir.

"Sebab masa itu (PRU) kerajaan tak sempat jawab.

"Terdapat media tertentu di dalam dan luar negara sudah disalurkan dengan maklumat palsu untuk ditularkan ketika menjelang PRU14," katanya.

Susulan itu beliau menasihatkan pemimpin Umno supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat sehingga mudah dimanipulasi pihak pembangkang.

"Pembangkang kini memerhatikan gerak-geri kita dan setiap kenyataan yang dikeluarkan (untuk dimanipulasi)," katanya.

Lihat Komen
ADS