Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saya sendiri pernah jumpa kapal Jho Low, kata Rafidah
Diterbitkan:  Mar 4, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz membidas pihak berkuasa Malaysia kerana sebelum ini gagal mencari kapal layar mewah milik ahli perniagaan Low Taek Jho, Equanimity.

Menurutnya, ini kerana beliau sendiri pernah mengesan kapal itu ketika bercuti di Thailand pada tahun lalu.

"Ketika mengikuti trip menyelam di Thailand, kami dengan mudah dapat mengenalpasti lokasi sebenar Equanimity menggonakan sistem pengecaman automatik (automatic identification system, AIS) bot kami.

"Dan saya sendiri sempat mengambil gambar dan video Equanimity pada jarak dekat, termasuk tender-nya (kapal pengangkut kecil, lihat gambar) yang amat mewah yang ketika itu berada di pangkalan di Phuket.

Kami hanya penyelam tetapi mampu melakukannya. Pihak berkuasa kita tidak (mampu)?" kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu di Facebook.

Pihak berkuasa Indonesia telah merampas Equanimity atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS Khamis lalu berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan telah dibina khas untuk Jho Low, antara individu utama dalam skandal 1MDB, pada tahun 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).

Menyindir "ketenangan" (maksud perkataan equanimity dalam bahasa Melayu) yang ditunjukkan pihak berkuasa negara dalam mengesan kapal itu serta media arus perdana dalam membuat liputan tentangnya, Rafidah berkata perkembangan ini menunjukkan Malaysia seolah-olah "tidak bermaya".

"Apa telah berlaku terhadap penguatkuasa kita? Adakah kita tidak pernah peduli untuk benar-benar mengesan dan mencari kapal itu?

"Atau ada udang di sebalik batu - skandal yang lebih teruk dan belum diketahui di sebaliknya?" soalnya.

"Betapa lemahnya kerajaan Malaysia terlihat di mata dunia...Kita tidak mampu mengesan kapal yang besar dan terkenal yang berada di wilayah sendiri," katanya lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata laporan yang mengatakan kapal tersebut dengan Jho Low adalah 'berita palsu' memandangkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tidak menunjukkan bukti tentang perkara itu.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula berkata kerajaan tidak akan membuat tuntutan terhadap Indonesia kerana kapal itu bukan dimiliki kerajaan.

'Raja tanpa baju'

Rafidah berkata perkembangan ini memalukan negara terutamanya kerana negara lain yang terlibat sedang mengambil tindakan terhadap skandal berkaitan 1MDB.

"Dengan skandal kleptokrasi Malaysia yang sedang ditangani, secara efektif dan cekap, seperti di AS, Australia, Timur Tengah, Switzerland dan Singapura.

"Ada yang dipenjara, syarikat dikenakan denda dan tidak dibenarkan beroperasi, hartanah dan aset disita, malah hadiah yang diberikan pemilik kapal juga dipulangkan kembali oleh mereka yang tidak ingin dikaitkan dengannya.

Beliau berkata sikap membisu "mereka yang di tampuk kuasa" berhubung skandal ini mengingatkannya tentang kisah rakyat masyhur iaitu raja dan baju halimunannya.

"Tiada siapa yang berani mengaku yang mereka sebenarnya tidak dapat melihat 'baju' yang kononnya dipakai raja, dan raja itu sebenarnya tidak berbaju,.

"Mereka tidak ingin dilihat sebagai bodoh dan tidak layak memegang jawatan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS