Media BN tak siarkan kritikan saya terhadap Nazri, kata Guan Eng
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang didakwa mengalihkan pertengkaran MCA dan anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz kepada DAP.
Liow sebelum ini menuduh Lim tidak mengkritik Nazri yang menyerang tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok yang juga merupakan tokoh yang dihormati di kalangan masyarakat Cina.
Lim bagaiamanapun menafikan perkara itu dan mendakwa beliau telah mengkritik Nazri namun kenyataannya tidak disiarkan media yang dikawal kerajaan.
"Pemimpin DAP telah mengecam Umno dan pemimpinnya, termasuk Nazri (kerana menyerang Kuok). Kenyataan terbaru oleh saya adalah pada 2 Mac, sehari sebelum ulang majlis sambutan tahun MCA ke-69.
"Namun kenyataan 2 Mac saya itu tidak disiarkan di media BN. Liow kini menuduh saya tidak mengecam Umno sedangkan medianya sendiri yang tidak siarkan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lim, MCA tidak seharusnya mengenepikan isu Kuok kerana beberapa pemimpin Umno yang menyerang tokoh perniagaan itu belum memohon maaf.
"Biar saya ulang sekali lagi bahawa DAP bukan saja mengecam Nazri, namun Umni kerana menyebarkan berita palsu, berbohong dan serangan mereka terhadap tokoh perniagaan Malaysia Kuok," katanya.

