Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengarah Bukit Aman sedikit naif undang-undang Australia'
Diterbitkan:  Mar 4, 2018 9:17 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dengan berkata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman itu mungkin "naif" berhubung sistem undang-undang Australia.

"Perkara ini timbul sejak 2016. Wan Ahmad sudah nyatakan sumber sebenar wang berkenaan adalah dari jualan rumah bagi membiayai pendidikan anaknya di Australia, namun undang-undang negara itu mewajibkan kebenaran khas diperoleh untuk transaksi lebih A$10,000.

"Jadi mungkin Wan Ahmad sedikit naif dengan sistem perundangan di Australia.

"Namun dia perlu menjelaskan perkara itu kepada pihak berkuasa dan juga kepada saya secara peribadi. Kita terima penjelasan beliau dengan penuh kerpercayaan," katanya seperti dipetik Bernama.

Akhbar harian Australia Sydney Morning Herald dua hari lalu melaporkan sebuah akaun bank milik Wan Ahmad, yang mengandungi dana lebih A$320,000 (RM971,800) dibekukan.

Polis Persekutuan Australia mendakwa wang berkenaan merupakan hasil dari penggubahan wang haram atau aktiviti jenayah.

Laporan sama juga menyatakan Wan Ahmad tidak menuntut semula wang berkenaan, dengan mendakwa tindakan mahkamah terlalu mahal.

Zahid, yang juga merupakan menteri dalam negeri, bercakap kepada Bernama bahawa adalah menjadi amalan biasa bagi pegawai polis membuat pengisytiharan harta setiap tahun kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Fuzi Harun, yang juga perlu mengisytihar hartanya kepada menteri.

Jumaat lalu, Mohd Fuzi mengesahkan wang dalam akaun Wan Ahmad di Australia datang dari sumber bersih dan mendakwa ia untuk membiayai pendidikan anak Wan Ahmad di negara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS