Polis Perak akan mengambil tindakan terhadap penganjur Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di jalan utama di Kampung Bukit Jana, Kamunting malam tadi kerana menganjurkan ceramah tanpa permit.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya akan menyiasat perkara tersebut berikutan perhimpunan diadakan di tempat larangan dan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

"Kita tidak memberi permit kepada penganjur kerana mereka tidak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan kerana lokasi ceramah itu mengganggu lalu lintas termasuk sebuah treler milik Pakatan Harapan yang dijadikan sebagai pentas ceramah diletakkan di atas jalan raya,” katanya.

Hasnan bercakap kepada pemberita selepas hadir latihan simulasi Polis Perak di sini hari ini sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Malam tadi, pemimpin pembangkang mengadakan ceramah di atas kenderaan pacuan empat roda di sebuah kawasan perumahan di Kamunting yang dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

- Bernama