Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Kenapa tak tuntut jika wang dari sumber sah?
Diterbitkan:  Mar 5, 2018 10:55 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin mencabar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd untuk menuntut A$320,000 (RM971,800) yang dibeku pihak berkuasa Australia melalui tindakan mahkamah, jika benar ia daripada sumber yang sah.

Beliau berkata tidak memadai bagi Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk mengatakan mereka mempunyai bukti wang tersebut daripada penjualan rumah Wan Ahmad untuk menanggung pelajaran anak-anaknya di negara itu.

"Saya kasihan dengan KPN, nampak sangat naifnya.

"Andailah benar wang dalam akaun di Australia itu 'halal', mengapa pengarah JSJ (gambar) tak mahu tuntut jumlah yang besar itu dengan menggunakan peguam di sana, dan kemukakan bukti? Inilah kaedah (yang sepatutnya)," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, agak pelik apabila wang tersebut tidak dituntut sedangkan ia dikatakan terbukti daripada sumber yang sah.

"Sepelik mereka yang mengatakan kapal layar Equanimity bukan milik (ahli perniagaan) Jho Low tetapi Jho Low sendiri berkata tindakan merampasnya sebagai keterlaluan," katanya lagi.

Beliau berkata KPN tidak boleh sekadar menunjukkan bukti tersebut sebaliknya ia perlu diuji dalam sistem perundangan Australia.

"(Ia boleh dibuat) melalui permohonan di Mahkamah di sana bagi menuntut kembali wang tersebut. Barulah pembelaan KPN ini munasabah.

"Jangan ingat kita saja ada bukti, polis Australia juga mungkin ada bukti yang lebih banyak," katanya lagi.

Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald melaporkan akaun Wan Ahmad di sana dibekukan kerana disyaki wang di dalamnya daripada wang yang dicuci atau hasil daripada kegiatan jenayah.

Menurut akhbar itu itu, pendeposit yang tidak dikenali pergi ke beberapa bank di lima negeri di Australia untuk memasukkan wang tersebut ke dalam akaunnya, yang jumlahnya meningkat hampir A$290,000 (RM880,700) dalam masa sebulan.

Namun polis Malaysia telah menjalankan siasatan dalaman selepas mendapat makluman AFP dan membersihkan Wan Ahmad daripada sebarang kesalahan, menurut laporan itu lagi.

Wan Ahmad juga dilaporkan tidak akan membuat tuntutan terhadap akaunnya itu atas sebab tindakan mahkamah di sana akan menelan belanja yang besar.

Lihat Komen
ADS