Jamal janji rumah buat belia Sg Besar jika BN rampas Selangor
Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menawarkan sebuah rumah percuma kepada golongan belia yang kurang berkemampuan di kawasan itu jika BN berjaya merampas semula kerajaan negeri Selangor.
Menurut Jamal, Umno Sungai Besar mempunyai 20 hektar tanah iaitu 10 hektar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan 10 hektar lagi di Sekinchan.
Daripada tanah yang dimiliki itu, Jamal memberitahu, sebanyak 300 unit rumah dirancang akan dibangunkan iaitu masing-masing 150 unit di dua DUN berkenaan.
Kata Jamal, rumah tersebut bukan sahaja dibina untuk masyarakat Melayu tetapi ia juga untuk kaum Cina dan India.
Tiada bayaran yang dikenakan kepada belia untuk memiliki rumah berkenaan kecuali wang deposit untuk air dan elektrik, kata Jamal.
"Rumah ini berukuran 980 kaki persegi. Sebagai permulaan untuk fasa 1, kita akan mendirikan rumah teres sebaris dengan dilengkapi tiga bilik tidur, tandas dan ruang dapur serta ruang tamu yang agak selesa berbanding rumah Selangorku.
"Rumah ini untuk golongan belia yang kurang berkemampuan, antara syaratnya seperti gaji bawah RM2,500 dan ada syarat-syarat yang lain.
"Rumah percuma ini juga untuk belia yang baru berkahwin," kata Jamal kepada Malaysiakini.
Selain itu, Jamal berkata, pemberian rumah percuma berkenaan tidak mustahil dapat diluaskan ke seluruh Selangor sekiranya BN kembali berkuasa.
"Jika BN berjaya menawan Selangor, bukan sahaja di Sungai Besar, kita akan usahakan agar rumah sama dibangunkan di seluruh Selangor. Perkara ini tak mustahil untuk dibuat.
'Saya seorang peniaga saya tahu caranya," kata Jamal.
Lesen percuma
Sementara itu, dalam laporan Sinar Harian, Jamal memberi lesen motosikal percuma kepada anggota Umno yang berusia 21 tahun ke atas.
Jamal berkata, sebanyak RM200,000 wang diperuntukkan untuk tujuan itu.
"Setiap seorang kita peruntukan antara RM600 hingga RM700 dan pendaftarannya telah dibuka sejak seminggu lalu.
"Selepas ini, sekolah memandu akan berurusan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk perlaksanaan program ini," kata Jamal yang dipetik akhbar itu.

