Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
17 individu ditahan bergaduh di restoran akibat makanan lambat sampai

Seramai 17 individu termasuk lapan wanita warga tempatan dan Vietnam ditahan awal pagi ini kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran makanan laut di Stulang Laut, Johor Bahru, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan di sekitar bandar raya itu pada 3 hingga 4 pagi tadi.

“Kita telah menggerakkan pasukan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut dengan berpandukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Hasil siasatan, seramai sembilan lelaki dan lapan wanita, termasuk pelaku utama, berjaya ditahan hingga pagi tadi. Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pergaduhan itu dipercayai tercetus apabila terdapat sekumpulan individu yang sedang mabuk, berang setelah makanan dipesan lambat sampai.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

“Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru petang ini untuk tindakan selanjutnya,” kata Mohd Khalil lagi.

Semalam, video berdurasi 4 minit 26 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Stulang Laut itu tular dalam laman Facebook, selain turut dikongsi orang awam menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, beliau berkata seramai 5,572 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang proses pilihan raya umum (PRU) ke-14 di seluruh Johor.

Beliau berkata polis Johor sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

Penugasan anggota itu disifatkan Mohd Khalil sebagai memadai, selain persiapan jentera bagi berdepan situasi tidak dijangka.

“Kesemua anggota tersebut akan diletakkan di pusat mengundi dan kawalan keselamatan di seluruh negeri ini.

“Kita juga yakin dan memberi jaminan bahawa sepanjang PRU ke-14 berlangsung keadaan akan terkawal dan lancar,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS