Lim tuntut Zenith terangkan bayaran rundingan RM22 juta
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menuntut Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd memberi penjelasan berhubung bayaran RM22 juta untuk kerja-kerja "rundingan" bagi projek terowong bawah laut Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim merujuk surat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darun, yang dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Zenith, Datuk Zarul Mohd Zulkifli, yang berkata perkara itu dirujuk dan dimaklumkan pada mesyuarat Majis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 28 Februari.
"MMK mendapati laporan tersebut telah menyatakan bahawa pihak Datuk telah melakukan bayaran-bayaran berjumlah RM22 juta kepada beberapa individu untuk khidmat perundingan dalam memastikan, antara lain, pematuhan peraturan dan pengurusan risiko, untuk menjaga kepentingan pihak Datuk dalam projek yang berkaitan.
"Setelah berbincang mengenai perkara tersebut, kerajaan negeri memohon penjelasan mengenai dakwaan pembayaran tersebut, seperti yang terkandung dalam laporan akhbar tempatan baru-baru ini.
"Memandangkan pihak Datuk adalah kontraktor yang dilatik untuk melaksanakan projek kerajaan negeri tersebut, MMK telah telah memutuskan bahawa pihak Datuk perlu mengemukakan penjelasan berhubung pembayaran tersebut pada kadar segera,” petik surat yang ditandatangani oleh Farizan itu.
Sehingga kini, SPRM telah menahan dua individu iaitu "Datuk Seri" berusia 37 tahun dan "Datuk" berusia 64 tahun yang masing-masing didakwa menerima RM19 juta dan RM3 juta berhubung projek itu.
Kedua-dua mereka dilaporkan menerima wang itu daripada Zenith untuk "menyelesaikan" siasatan SPRM berhubung projek berkenaan.
Zarul setakat ini enggan mengulas mengenai perkara itu.

