Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Kes rogol bawah umur di Pahang membimbangkan

Jumlah kes rogol yang direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lepas meningkat kepada 163 kes berbanding 134 kes pada 2016.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata paling membimbangkan 76 kes melibatkan remaja yang merupakan pelajar sekolah berumur 16 tahun ke bawah.

“Kita perlu ingat walaupun ia merupakan kes suka sama suka, apabila melibatkan pelajar atau remaja berumur 16 tahun ke bawah secara automatik ia merupakan kes rogol, apatah lagi sekiranya dipaksa ataupun menerima ancaman.

“Berdasarkan rekod, lebih 40 peratus kes rogol ini dilakukan oleh teman lelaki sendiri diikuti kenalan 32 peratus dan orang yang tidak dikenali sebanyak lima peratus.

“Bagi perogol yang merupakan ayah kandung dan juga bapa saudara pula sebanyak empat peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar di Kuantan hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Rosli berkata jika sebelum ini kes yang melibatkan golongan pelajar hanyalah buli, kini ia bertambah serius sehingga ada yang terlibat dengan jenayah berat seperti samun, rogol serta pembunuhan.

“Malah polis dan Jabatan Pendidikan juga dapat mengesan kes pengedaran gambar-gambar lucah melalui telefon bimbit dalam kalangan pelajar dan walaupun kes begini adalah kecil, kita tidak pernah memandang ringan.

“Polis akan sentiasa memantau dan mengambil langkah langkah yang perlu bagi membendung gejala tersebut daripada terus menjadi barah di kalangan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu seramai 306 pelajar menerima watikah pelantikan pemimpin muda bertujuan memberi pengiktirafan kepada mereka yang dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. -Bernama

Lihat Komen
ADS