SKMM arah Raja Petra keluarkan artikel tentang Kuok
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin untuk mengeluarkan tiga artikel mengenai jutawan Robert Kuok daripada blog, Malaysia Today.
Menurut surat daripada SKMM yang diterbitkan di blog itu, artikel tersebut didakwa melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Artikel mengenai Kuok itu telah mengakibatkan kekecohan besar-besaran selepas beliau menuduh usahawan yang berpusat di Hong Kong itu menaja parti DAP dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan BN.
Penulis blog itu juga menuduh lelaki terkaya di Malaysia yang berusia 94 tahun itu membiayai portal The Malaysian Insight.
Semua tuduhan itu telah dinafikan oleh Kuok dan DAP, tetapi sebelum beberapa pemimpin Umno termasuk Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz “menyerang” jutawan tersebut.
Serangan Nazri pula menyaksikan sekutu Umno MCA tidak senang duduk sehiongga ada pemimpin parti itu menuntut agar menteri pelancongan dan kebudayaan itu dipecat.
Antara lain, menteri Umno itu mencabar Kuok supaya bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan menyifatkannya sebagai "pondan" dan "ayam betinat".
Pada 16 Februari lalu, SKMM turut mengarahkan Raja Petra untuk mengeluarkan artikel mengenai isteri Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Semakan Malaysiakini mendapati artikel-artikel mengenai Kuok di blog berkenaan telah dikeluarkan.

